EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 1 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Negeri rancang ambil alih jalan persekutuan di kawasan industri, serah kepada PBT

SHAH ALAM, 1 DIS: Selangor bercadang mengambil alih sebahagian jalan persekutuan di kawasan perindustrian kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata pengambilalihan tersebut perlu kerana PBT mempunyai peruntukan untuk membaik pulih jalan yang rosak di kawasan tersebut.

Menurutnya, proses itu memerlukan masa bagi menentukan status jalan tersebut sebelum diserahkan kepada PBT kerana terdapat beberapa jalan utama yang dikendalikan JKR sepenuhnya.

“PBT dan JKR sedang dalam perbincangan untuk mengambil alih sesetengah jalan di bawah JKR kerana jika jalan tersebut di kawasan perindustrian, saya tidak nampak ada masalah untuk JKR serahkan (kepada PBT).

“Kita harap ia dapat disempurnakan dalam masa yang singkat,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada wakil rakyat Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam perkembangan lain, Sze Han turut menjawab pertanyaan mulut berkenaan isu untuk menangani premis terbiar di Selangor.

Beliau berkata PBT menggalakkan kerjasama antara pemilik tanah atau premis dengan pihak berkepentingan untuk bersama mengusahakan pembangunan di kawasan berkenaan bagi menyelesaikan isu tersebut.

“PBT turut memantau status premis di kawasan industri terbiar bagi mengelakkan kejadian longgokan sampah haram, kegunaan premis bertentangan dengan aktiviti dibenarkan, termasuk pembayaran cukai taksiran.

“Selain itu, PBT akan mengenal pasti faktor dan cara untuk merangsang aktiviti ekonomi, memberi insentif atau memperkenalkan tarikan baru yang bersesuaian untuk pertumbuhan pembangunan kawasan berkenaan,” katanya.


Pengarang :