Ahli keluarga dan sahabat handai yang hadir mendengar bacaan talkin pada pengebumian Allahyarham Nurul Azwani Kamarulzaman, mangsa insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan di Gohtong Jaya Batang Kali, di Tanah Perkuburan Islam Taman Selaseh malam 17 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Nurul Azmani, mangsa tragedi tanah runtuh pertama selamat dikebumi

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Jenazah seorang daripada mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, Selangor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (KL-Karak), Taman Selasih di sini pada 10 malam tadi.

Ibu Allahyarham, Siti Esah Hassan, 53, berkata jenazah Nurul Azmani Kamarulzaman, 31, dibawa ke tanah perkuburan selepas selesai solat jenazah di Masjid Abu Hurairah Kampung Batu 5, Jalan Ipoh di sini.

Siti Esah berkata Allahyarham merupakan anak sulung daripada tiga beradik yang bekerja sebagai penolong kantin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Mun Choong.

“Allahyarham menyertai perkhemahan itu kerana mengikut majikannya yang juga guru di sekolah tersebut dan dia sudah berjanji untuk pulang ke kampung selepas habis aktiviti perkhemahan itu.

“Rabu lepas, Allahyarham ada menghubungi saya pada malam sebelum hari kejadian untuk memberitahu dia sudah membeli tiket untuk pulang ke kampung di Kelantan yang sepatutnya semalam,” katanya kepada pemberita di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah.

Allahyarham merupakan antara 24 mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat.

Setakat 9 malam ini, seramai sembilan mangsa masih hilang manakala 61 lagi berjaya diselamatkan.

-BERNAMA


Pengarang :