Penguat kuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya melakukan operasi peruntuhan Bangunan/binaan tanpa kebenaran di sepanjang Rizab bahu jalan Taqwa Bulatan Puchong Permai,Persiaran Puchong Permai, Puchong pada 21 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Operasi peruntuhan binaan haram beri laluan kerja naik taraf jalan

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SUBANG JAYA, 21 DIS: Operasi peruntuhan binaan tanpa kebenaran di sepanjang rizab bahu Jalan Taqwa Bulatan Puchong Permai, Puchong dilaksanakan berikutan lokasi itu tidak sesuai sebagai tapak penjaja statik.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata penjaja di kawasan tersebut juga didapati melakukan pelbagai kesalahan menyalahi syarat permit penjaja seperti membina struktur kekal, meninggalkan barang perniagaan di tapak, meletakkan kerusi dan meja untuk pelanggan serta tidak menjaga kebersihan.

“Tindakan majlis ini bukanlah tiba-tiba dibuat, notis sudah diberi secara berkala apabila ada keperluan telah kita buat pemakluman untuk tindakan penguatkuasaan iaitu sejak seawal 2020 lagi yang tertangguh akibat pandemik Covid-19.

“Jadi kita rasa sudah sampai masa kita perlu ambil (tindakan) sebab kita juga terima aduan daripada penduduk setempat berkenaan laluan ini sebahagian besarnya sesak sebab aktiviti perniagaan.

“Ia menimbulkan kacau-ganggu lalu lintas dan masalah keselamatan yang menimbulkan rungutan orang awam terutama penduduk setempat,” kata Dato’ Johary Anuar.

Ditemui selepas meninjau operasi peruntuhan binaan tanpa kebenaran di sepanjang rizab bahu Jalan Taqwa Bulatan Puchong Permai, Puchong hari ini, Johary menjelaskan operasi itu dibuat bagi memberi laluan kepada kerja naik taraf infrastruktur jalan di kawasan sekitar.

“Kerja naik taraf itu membabitkan pembinaan laluan pejalan kaki berserta pagar berukuran dua meter di bahagian kiri dan kanan, pembinaan bebendul jalan, turapan semula jalan, penyediaan papan tanda dan garisan jalan.

“Projek itu akan dilaksanakan sejurus selepas kerja peruntuhan dan pembersihan tapak selesai dan dijangka keseluruhan kerja pembinaan mengambil masa dua bulan bermula Januari 2023,” katanya.

Beliau berkata penjaja di kawasan binaan haram itu juga didapati menggajikan pembantu warga asing dan pemantauan pihak MBSJ mendapati terdapat segelintir penjaja yang menyewakan tapak kepada penjaja lain.


Pengarang :