Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid dan sebahagian kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bergambar bersama Mohd Rashidi Ruslan (duduk, empat kiri) yang akan bertugas sebagai Setiausaha Sulit Kanan di Kementerian Ekonomi pada majlis perpisahan beliau di Dewan Banquet MBSA Shah Alam pada 30 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

‘Orang kuat’ MBSA akan bertugas di Kementerian Ekonomi tahun hadapan

SHAH ALAM, 30 DIS: Membantu mangsa banjir di Taman Sri Muda tahun lalu antara tugas penting Mohd Rashidi Ruslan, 42, sebagai Timbalan Datuk Bandar Shah Alam.

Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid berkata Mohd Rashidi antara ‘orang kuat’ Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir di kawasan itu pada 2021.

“Beliau adalah pegawai yang disegani dan dihormati semua kakitangan. Beliau juga sentiasa komited dalam memberikan yang terbaik kepada MBSA dan penduduk Shah Alam,” katanya berucap pada majlis perpisahan ‘Setulus Budi Kenangan Abadi’ Mohd Rashidi hari ini.

Mohd Rashidi yang dilantik Timbalan Datuk Bandar pada Januari 2019 akan bertugas sebagai Setiausaha Sulit Kanan di Kementerian Ekonomi tahun hadapan.

Beliau diraikan hampir 500 kakitangan MBSA dan terdahulu Mohd Rashidi hadir ke Dewan Bankuet MBSA di sini, dengan membonceng bersama sekumpulan pemilik motosikal berkuasa tinggi jenis Harley Davidson.

Mohd Rashidi yang dilahirkan di Klang adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ekonomi Perancangan dan Pembangunan (2005) dari Universiti Malaysia Sabah.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang Pengurusan Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan, Pengurusan Projek dan Pengurusan Bajet.


Pengarang :