Dato’ Teng Chang Kim diberi penerangan oleh pegawai Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengenai projek kolam tadahan banjir di Jalan Serindit 9, Taman Eng Ann, Bandar Baru Klang. Foto MPK
PBTSELANGOR

Padang permainan jadi kolam tadahan banjir sementara di Taman Eng Ann

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 27 DIS: Bagi mengatasi masalah banjir kilat di Taman Eng Ann, Bandar Baru Klang dan kawasan sekitar, satu projek tebatan banjir dilaksanakan dengan menjadikan sebuah padang permainan sebagai kolam tadahan banjir sementara membabitkan kos kira-kira RM381,000.

Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Klang (MPK), Norfiza Mahfiz berkata projek di padang Jalan Serindit 9, Taman Eng Ann itu dimulakan 22 Disember lepas dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan iaitu pada 21 Jun 2023.

“Kontraktor projek dijangka merendahkan separuh paras tapak padang iaitu kira-kira satu meter dan menjadikan padang tersebut mempunyai dua fungsi iaitu sebagai padang pada waktu kering dan kolam tadahan air sementara apabila air longkang melimpah.

“Kolam tadahan sementara itu mampu menampung air dengan kapasiti 3000 m3,” katanya ketika dihubungi.

Padang permainan yang dijadikan kolam tadahan banjir sementara di Jalan Serindit 9, Taman Eng Ann, Bandar Baru Klang. Foto Majlis Perbandaran Klang

Menurut Norfiza sepanjang kerja dilakukan, kontraktor perlu memotong pokok dan mengalihkan alat permainan di taman tersebut sebelum memasang semula apabila siap kelak.

Ahli Dewan Negeri Bandar Baru Klang, Dato’ Teng Chang Kim turut melawat kawasan padang tersebut bersama Ahli Majlis dan Pengarah Kejuruteraan MPK, Zamri Othman.


Pengarang :