EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim (kanan) ketika sidang media pascalaporan Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 dan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Bilik Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Shah Alam pada 6 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pameran udara negeri catat potensi urus niaga lebih RM1 bilion

SHAH ALAM, 6 DIS: Sebanyak RM1.174 bilion potensi nilai transaksi berjaya dicatatkan sepanjang tiga hari penganjuran Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 pada 8 hingga 10 September lalu.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim memaklumkan jumlah itu lebih tinggi berbanding RM100 juta nilai transaksi yang direkodkan pada penganjuran sama tahun lepas.

Menurutnya, pameran di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Subang turut menyaksikan kehadiran seramai 10,563 pelawat perdagangan dan orang awam berbanding 8,000 yang dicatatkan pada edisi lepas.

“Acara ini berjaya menghimpunkan sebanyak 62 pempamer dari lima negara yang mewakili syarikat industri aeroangkasa dan penerbangan terbaik dunia.

“Selain itu, sebanyak 30 pesawat statik dipamerkan, hampir dua kali ganda berbanding SAS 2021,” katanya pada sidang media di Bilik Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 14 memorandum persefahaman (MoU) daripada pelbagai subsektor industri aeroangkasa dimeterai bagi penyelidikan dan pembangunan industri aeroangkasa serta dwi lesen dan latihan juruterbang pengangkutan udara.

Chang Khim menambah perjanjian ditandatangani turut meliputi pusat sehenti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dron serta penyelenggaraan pesawat ‘amfibia’.

“Syarikat teknologi penerbangan hijau Volar Air Mobility Ltd menandatangani MoU terbesar dengan nilai RM675.1 juta dengan Selangor Aviation and Technology Innovations Sdn Bhd (Selati) untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi udara hijau pertama di Malaysia dalam tempoh dua tahun.

“MoU itu melibatkan pembuatan pesawat yang berpotensi, MRO, latihan perkhidmatan teksi udara serta penyelidikan dan pembangunan untuk tempoh lima tahun.

“Volar dan Selati akan menubuhkan Institut Pembangunan Penerbangan Elektrik Malaysia, sebuah badan pemikir untuk mempromosi dan menyokong pembangunan penerbangan hijau,” katanya lagi.

SAS 2022 dianjur bagi membuka jaringan perniagaan kepada pemain industri dan mendedahkan orang ramai dalam penerbangan.

Sembilan negara terlibat iaitu Singapura, Brazil, Perancis, Amerika Syarikat, Switzerland, Nigeria, Czech Republik, United Kingdom dan Malaysia.


Pengarang :