EXCO Pelancongan Hee Loy Sian menyampaikan permainan ‘Kajang on Board’ kepada peserta Majlis Perasmian Aktiviti Pelancongan Jom Play Kajang! anjuran Alumni Siswazah Universiti Kebangsaan Seni Taiwan di Tin Hong Sza Temple, Kajang pada 17 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Papan permainan bantu promosi pelancongan, kenali sejarah Kajang

Oleh AZIAN AZIZ

HULU LANGAT, 18 DIS: Papan permainan ‘Kajang on Board’ diperkenal bagi membantu mempromosi lokasi pelancongan di Kajang.

EXCO pelancongan berkata permainan itu juga mendidik orang ramai terutama pelajar mengenali tempat dan bangunan bersejarah di bandar itu.

“Di bandar Kajang ini banyak bangunan berusia lebih 100 tahun dan ada sejarah tersendiri.

“Melalui papan permainan ini kita harap orang yang bermain akan lebih faham dan mengenali tempat-tempat menarik di sini,” kata Hee Loy Sian.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian mencuba permainan ‘Kajang On Board’ selepas merasmikan Majlis Perasmian Aktiviti Pelancongan Jom Play Kajang! anjuran Alumni Siswazah Universiti Kebangsaan Seni Taiwan di Tin Hong Sza Temple, Kajang pada 17 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau merasmikan Jom! Play Kajang anjuran Persatuan Alumni National Taiwan University of Art dengan kerjasama Pusat Warisan Kajang, Tourism Selangor dan Persatuan Komuniti Lestari semalam.

Menurut Loy Sian, pada masa akan datang pihaknya akan menggunakan kaedah sama (permainan papan) untuk mempromosikan lokasi pelancongan negeri.

Sementara itu, Pengarah Pusat Warisan Kajang Lee Teng berkata papan permainan yang sesuai untuk seisi keluarga itu dicipta Persatuan Komuniti Lestari.

“Papan permainan ini memerlukan pemain membaca soalan mengenai bangunan bersejarah di Kajang yang ditulis pada 44 kad dan mencari jawapan di dalam buku panduan dwi bahasa (Cina dan Inggeris) yang disediakan.

“Sebanyak 300 set papan permainan beserta buku dikeluarkan buat permulaan dan dijual dengan harga RM120,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya akan mengeluarkan set papan permainan versi Bahasa Melayu untuk semua rakyat Malaysia tahun depan.


Pengarang :