AGENDAJENAYAH

Pasangan kekasih ditahan buang mayat bayi dalam parit

JOHOR BAHRU, 12 DIS: Sepasang kekasih ditahan bagi membantu siasatan berkaitan penemuan mayat bayi perempuan yang baharu dilahirkan dan dibuang ke dalam sebuah parit di Kampung Melayu Pandan, di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat bayi yang masih bertali pusat itu daripada seorang wanita berusia 33 tahun pada 11.50 pagi.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, lelaki berusia 28 tahun dan wanita berusia 27 tahun itu, yang kedua-duanya bekerja sebagai operator kilang, diberkas pada 1.30 tengah hari, hari sama.

“Polis merampas sehelai kemeja-T berwarna ungu dan kain sarung berwarna hijau yang ada kesan tompokan disyaki darah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Roslan, turut dirampas adalah 13 biji ubat jenama Ciproglen, masing-masing 10 biji ubat jenama Fenagesic dan Spasmin, sembilan biji ubat Anarex serta dua telefon bimbit jenis Poco dan Oppo.

Beliau berkata pasangan itu tidak memiliki rekod jenayah lampau manakala mayat bayi berkenaan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, di sini, untuk bedah siasat.

Katanya kedua-duanya direman empat hari bagi siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar dan video berdurasi 39 saat menerusi media sosia menunjukkan orang awam menjumpai mayat bayi itu di dalam sebuah parit.

Video itu turut memaparkan orang ramai membantu mengambil bayi yang tidak berbaju dan masih bertali pusat di dalam parit tersebut.

-BERNAMA

 


Pengarang :