Pasukan mencari dan menyelamat bertungkus lumus mencari mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya pada 17 Disember 2022. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pasukan penyelamat berdepan cabaran tanah lembik kedalaman 16 meter

BATANG KALI, 19 DIS: Pasukan penyelamat hari ini berdepan cabaran keadaan tanah yang lembik dan lecak sedalam 16 meter dalam usaha mencari dan menyelamatkan (SAR) sembilan lagi mangsa yang masih hilang dalam tragedi tanah runtuh di sini, Jumaat lepas.

“Kedalaman tanah itu adalah yang paling tinggi dicatatkan setakat ini susulan keadaan cuaca yang hujan semalam,” kata Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd.

Dalam kejadian pada kira-kira 2.42 pagi Jumaat, runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter telah menimpa tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, yang terletak di Jalan Genting-Batang Kali.

Setakat 12 tengah hari 19 Dis (hari ini), sembilan mangsa masih hilang, manakala 24 lagi terkorban daripada keseluruhan 94 orang yang dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.

Hafisham berkata operasi SAR hari ini, yang bermula 8 pagi, melibatkan seramai 135 keanggotaan daripada pelbagai agensi dan tumpuan pencarian adalah di kawasan Sektor C (Riverside) dan Sektor A (Hillview), serta di tempat-tempat yang belum dilaksanakan pencarian.

“Kita akan korek sehingga dasar dan asingkan tanah yang dikorek ke tempat lain. Saya harap usaha ini akan membuahkan hasil kerana semalam, kita sedikit terkilan dan kecewa walaupun telah berusaha seharian tetapi masih gagal menemukan mangsa yang hilang,” katanya.

Bercakap kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini, beliau berkata pasukan penyelamat juga akan menggunakan lapan buah jentera pengaut dan beberapa ekor anjing unit pengesan (K9) milik bomba, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia untuk memudahkan operasi.

Bagi menjaga tahap keselamatan kesemua mereka yang berada di lapangan pula, Hafisham berkata seorang pegawai keselamatan telah ditempatkan untuk memantau sebarang kegelinciran dan pergerakan tanah.

“Pegawai keselamatan ini akan membunyikan wisel untuk semua yang berada di ground zero (lapangan) agar menyelamatkan diri sekiranya apa-apa berlaku.

“… tetapi semalam kita sudah dapat maklumat daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang menyatakan risiko untuk kegelinciran tanah adalah rendah. Dengan maklumat tersebut, kita berasa lega untuk beroperasi hari ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :