Anggota Skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menjalani latihan amal dan simulasi bencana di pesisir lombong Kampung Olak Lempit, Kuala Langat pada 26 Oktober 2022. Foto MPKL
PBTSELANGOR

PBT sedia hantar skuad PANTAS, sukarelawan bantu negeri terkesan bah

SHAH ALAM, 21 DIS: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bersiap sedia menggerakkan Skuad Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) ke negeri terkesan bah khususnya di Terengganu dan Kelantan.

Yang Dipertuanya Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata persediaan bagi bantuan kemanusiaan itu dibuat akhir bulan lalu dengan mengambil kira pengalaman pascabanjir sebelum ini.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, MPKL biasanya menghantar 15 orang. Kita juga bersedia dengan beberapa aset antaranya bot yang dibeli sendiri sebagai inisiatif bantuan menyelamat. Setakat ini, ada lima bot seperti kimple dan fiber, jika diperlukan kita akan bawa ke misi bantuan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar memaklumkan Skuad PANTAS Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan sukarelawan juga bersedia jika diperlukan di mana-mana negeri.

“Penghantaran Skuad PANTAS bergantung keadaan dan arahan pihak berkuasa negeri. Buat masa ini, tumpuan utama ialah pemantauan di kawasan MBSJ jika hujan lebat dan banjir,” katanya.

Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Klang (MPK) Norfiza Mahfiz pula berkata pihaknya hanya menunggu arahan untuk menghantar pasukan berkaitan dan sukarelawan.

“Kita memang sentiasa bersiapsiaga dan memberi tumpuan kepada bantuan pascabanjir seperti pembersihan, jentera dan sebagainya,” katanya.

Semalam, Kerajaan Negeri menghulur bantuan kewangan berjumlah RM500,000 masing-masing kepada Kelantan dan Terengganu yang berdepan musibah banjir ketika ini.

Dato’ Menteri Besar berkata Sumbangan Bantuan Banjir #KitaSelangor 2022 sebagai tanda simpati terhadap nasib puluhan ribu mangsa yang terkesan akibat bencana itu.

Malah, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Kerajaan Negeri juga sedia berkhidmat untuk sebarang bentuk bantuan kemanusiaan pascabanjir melalui Skuad PANTAS dan Sukarelawan Selangor (SERVE).


Pengarang :