Infrasel melaksanakan kerja penghamparan crusher run di bahu jalan di kawasan runtuhan Batang Kali. Foto Twitter Infrasel
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pekerja Genting Highlands berkenderaan ringan dibenar lalui jalan Batang Kali

SHAH ALAM, 23 DIS: Kerajaan Negeri membenarkan kakitangan Genting Highlands yang berkenderaan ringan melalui Jalan B66 Batang Kali-Genting Highlands yang ditutup selama setahun bagi kerja pembaikan cerun susulan tragedi tanah runtuh.

Pegawai Khas Menteri Besar Selangor berkata kebenaran itu diberikan kepada mereka yang disahkan tinggal di Batang Kali, Kuala Kubu Bharu dan Hulu Bernam.

Menurut Saifuddin Shafi Muhammad keputusan itu mengambil kira kesukaran ribuan kakitangan di lokasi percutian tanah tinggi tersebut untuk berulang alik selain memberi kesan negatif kepada kawasan terbabit.

“Alhamdulillah biarpun menteri Kerja Raya telah membuat kenyataan untuk membenarkan motosikal melalui jalan tersebut seminggu lagi, satu dua perkara teknikal turut kami bincangkan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Pegawai Khas Menteri Besar Selangor Saifuddin Shafi Muhammad (kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman baru-baru ini. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad

Beliau menjelaskan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Ir Lukman Nasir akan bekerjasama dengan jurutera daerah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor bagi kelancaran proses berkenaan.

Selasa lalu, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman memaklumkan laluan Batang Kali-Genting Highlands ditutup sehingga hujung tahun depan bagi kerja pemulihan cerun.

Hari ini, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata laluan itu akan dibuka kepada pengguna motosikal dalam tempoh seminggu lagi.

Keputusan itu bagaimanapun meresahkan banyak pihak terutama peniaga dan pengusaha hotel di Batang Kali, selain mereka yang menggunakan laluan berkenaan untuk ke tempat kerja di Genting Highlands.


Pengarang :