EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman menyantuni penghantar makanan selepas program sumbangan p-panggilan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di Dewan MBSA Seri Pagi, Paya Jaras, Sungai Buloh pada 15 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pekerja p-panggilan lega subsidi RM1,000 bantu ganti motor uzur, kerap rosak

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 30 DIS: Kenderaan uzur dan sering rosak hingga menjejaskan kerja menncari rezeki antara sebab pekerja sampingan (gig) teruja apabila menerima subsidi RM1,000 untuk membeli motor baharu.

Muhammad Isqandar Dzulkarnain Idris, 28, berkata motosikal yang selalu rosak juga menyebabkan sumber pendapatannya sebagai pekerja p-panggilan terganggu dan mendorongnya memohon bantuan menerusi program BikeCare-1000.

“Saya mohon pada awal Disember ini. Motosikal baharu yang dibeli dapat ganti motosikal saya yang dah uzur, usia pun sudah lapan tahun. Bila rosak macam-macam kena ganti dan guna banyak duit.

“Memang bila motosikal rosak, ada terfikir untuk beli yang baharu tetapi bukan senang mahu dapat RM1,000 sekelip mata. Bila dapat beli dengan bayaran muka dibantu saya sangat bersyukur,” katanya kepada Selangorkini.

Muhammad Isqandar Dzulkarnain Idris

Muhammad Isqandar yang menjadi pekerja p-panggilan sejak tiga tahun lalu dan bakal mendirikan rumah tangga pada tahun depan berkata beliau hanya membayar RM2,900 untuk memperoleh motosikal berharga RM3,900 berikutan subsidi RM1,000.

Beliau antara 100 penerima manfaat BikeCare-1000, inisiatif Kerajaan Negeri bawah Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) yang menyediakan subsidi RM1,000 untuk pembelian motosikal kepada pekerja sampingan.

Ng Chee Kuang, 27, yang bekerja sebagai ejen jualan pula mahu menjadikan p-hailing sebagai sumber pendapatan sampingan tetapi hasrat itu tertangguh kerana tidak memiliki motosikal.

“Dengan bantuan ini, saya akhirnya dapat beli motosikal. Saya sudah berkahwin dan ada seorang anak. Jadi, siang saya bekerja sebagai ejen jualan dan malam saya buat Grab untuk tambah pendapatan.

“Inisiatif ini sangat baik untuk diteruskan tahun depan, malah lebih baik jika ditambah kuotanya supaya lebih ramai dapat manfaat,” katanya.

Ng Chee Kuang

 


Pengarang :