Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 5 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pelan pembangunan wilayah luar bandar pacu ekonomi negeri

SHAH ALAM, 5 DIS: Kerajaan Negeri memperkenal Pelan Pembangunan Wilayah (Klusterisasi) bagi mengekalkan prestasi Selangor sebagai pemacu ekonomi negara.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif itu bagi memantapkan sesebuah kawasan tumpuan dengan memfokuskan kepada penyeragaman kemudahan dan prasarana berkaitan.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan aktiviti ekonomi turut dipelbagai melalui sumber semula jadi yang mampan selain memperkenal asas ekonomi yang inovatif.

“Asas-asas inilah yang kemudiannya dijadikan sebagai Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang mengandungi Pembangunan Serantau Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS) dan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada wakil rakyat Semenyih Zakaria Hanafi dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Julai lalu, Amirudin membentangkan RS-1 yang mengandungi perancangan membangunkan beberapa kawasan berasaskan pelan pembangunan wilayah di bawah Klusterisasi.

Pelan itu menumpukan pertumbuhan ekonomi, memberdaya rakyat melalui program kebajikan, pembangunan lestari, sistem dan perkhidmatan kerajaan yang cekap, telus serta efisien.


Pengarang :