AGENDAJENAYAH

Pemandu mabuk lawan arus sebabkan kemalangan ditahan polis

SHAH ALAM, 28 DIS: Dua pemandu dan seorang penumpang kereta cedera dalam kemalangan dua kenderaan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran jejambat Taman Megah, Petaling Jaya hari ini, kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya.

Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 6.09 pagi tadi.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat Honda Civic dipandu secara melawan arus oleh seorang lelaki di bawah pengaruh alkohol berusia 27 tahun.

“Tindakan itu menyebabkan kenderaan berkenaan terlanggar sebuah Proton Saga yang datang dari arah hadapan,” katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata kemalangan itu menyebabkan pemandu dan penumpang kereta Honda Civic serta pemandu kereta Proton Saga cedera dan mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.

“Pemandu kereta Honda Civic itu pula direman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi penolong pegawai penyiasat trafik, Sarjan Juwita Selamat di talian 019-2841667 bagi membantu siasatan.


Pengarang :