Kontraktor syarikat Puncak Niaga Construction Sdn Bhd (PNCSB) melaksanakan kerja pembaikan jalan akibat tanah mendap di AU3 Taman Keramat pada 29 Disember 2022. Foto ihsan Majlis Perbandaran Ampang Jaya
PBTSELANGOR

Pembaikan jalan mendap selesai, laluan dibuka semula kepada pengguna

OLEH SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 30 DIS: Kerja pembaikan jalan akibat mendapan tanah di AU3 Taman Keramat selesai malam tadi dan dibuka semula kepada pengguna dengan pemantauan kontraktor di tapak.

Yang dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memaklumkan kerja membaik pulih jalan seperti sedia kala akan dibuat setelah penanaman paip di lokasi berkenaan siap sepenuhnya.

Menurut Mohd Fauzi Mohd Yatim, mendapan tanah berlaku semasa pembicuan paip dijalankan di bawah jalan tersebut, yang disebabkan oleh ketidakstabilan struktur tanah.

“Susulan kejadian itu, Syarikat Puncak Niaga Construction Sdn Bhd (PNCSB) diarah untuk melaksanakan kerja pembaikan segera memandangkan kejadian tersebut boleh mengundang bahaya.

“Pihak PNCSB juga telah diminta untuk mengemukakan laporan terperinci kepada MPAJ mengenai kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan mendapan dengan kedalaman 6m berlaku di lokasi Projek Pembinaan Rangkaian Paip Pembentungan Bunus Kuala Lumpur (Reka dan Bina) dan laporan terperinci kejadian akan dikemukakan.


Pengarang :