Mahkamah Telok Datok di Banting. Foto Majlis Perbandaran Kuala Langat
PBTSELANGOR

Pemilik enam kedai telekomunikasi gagal lunas 35 kompaun didenda RM1,000

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 21 DIS: Seorang pemilik kedai telekomunikasi yang dikenakan waran tangkap dihadapkan ke Mahkamah Telok Datok, Kuala Langat berikutan gagal melunaskan 35 notis tunggakan kompaun.

Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) memaklumkan lelaki berusia 40 tahun itu dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau sebulan penjara mengikut Kesalahan dibawah Undang-Undang Kecil 7, Undang-Undang Kecil Iklan (MDKL) 2007.

“Berdasarkan pertuduhan, pemilik kedai telekomunikasi itu telah mempamerkan iklan tanpa lesen MPKL. Tertuduh mengaku bersalah dan membayar denda tersebut,” katanya menerusi Facebook hari ini.

MPKL menjelaskan lelaki itu sebelum ini mempunyai 35 notis kompaun tertunggak melibatkan iklan tanpa lesen dan perniagaan tanpa lesen daripada pihak berkuasa tempatan itu.

Prosiding dikendalikan oleh Majistret Khairul Farhi Yusob dan pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa MPKL, Hasrizal Abdul Rahim.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKL Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata individu atau syarikat yang menjalankan perniagaan perlu mendapatkan lesen daripada MPKL terlebih dahulu sebelum beroperasi.

MPKL sentiasa mengambil tindakan terhadap pihak yang melanggar mana-mana peraturan dan undang-undang sedia ada.


Pengarang :