Air Selangor pembekal tunggal perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKIN
AGENDANASIONAL

Pemulihan bekalan air di kawasan terjejas capai 80 peratus setakat 9 pagi

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 26 DIS: Status pemulihan keseluruhan bekalan air 472 kawasan di lima wilayah terjejas akibat henti tugas dua loji rawatan air (LRA) mencapai 80 peratus setakat jam 9 pagi ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata Kuala Langat mencatat pemulihan 96 peratus diikuti Hulu Langat (89 peratus), Petaling (66 peratus), Putrajaya dan Sepang (87 peratus).

“Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Air Selangor berharap agar pengguna yang mendapat bekalan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan lain berjalan seperti dijadualkan,” katanya.

Kelmarin, LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas akibat dari tumpahan pati minyak wangi daripada kemalangan lori membawa muatan itu di Lebuhraya ELITE berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan.

Tumpahan 1,000 liter pati minyak wangi tersebut menyebabkan pencemaran bau dan LRA terbabit terpaksa dihenti tugas bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Berikutan insiden pencemaran bau itu menyebabkan 472 kawasan di lima wilayah mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.


Pengarang :