Penduduk di kawasan terjejas beratur mengambil bekalan air disediakan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor). Foto Facebook AIR SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pemulihan bekalan air di kawasan terjejas capai 95 peratus setakat 6 petang

SHAH ALAM, 26 DIS: Proses pemulihan bekalan air melibatkan 472 kawasan di lima wilayah terjejas akibat henti tugas dua logi rawatab air (LRA) mencapai 95 peratus setakat 6 petang ini, menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Agensi itu memaklumkan tempoh pemulihan bekalan adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

Setakat ini, tiga kawasan mencapai tahap pulih 100 peratus iaitu Hulu Langat, Kuala Langat dan Putrajaya manakala Sepang (99 peratus) serta Petaling (88 peratus).

“Air Selangor berharap pengguna yang mendapat bekalan agar menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan masih terjejas berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas akibat dari tumpahan pati minyak wangi daripada kemalangan lori membawa muatan itu di Lebuhraya ELITE berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan.

Tumpahan 1,000 liter pati minyak wangi tersebut menyebabkan pencemaran bau dan LRA terbabit terpaksa dihenti tugas bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Berikutan insiden pencemaran bau itu menyebabkan 472 kawasan di lima wilayah mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.


Pengarang :