Situasi banjir kilat di sekitar Kampung Gong Pak Maseh ekoran hujan lebat berterusan sejak malam tadi semasa tinjauan di sini hari ini. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Penduduk kawasan berisiko banjir perlu peka amaran semasa – APM

KUALA NERUS, 9 DIS: Penduduk terutama di kawasan dijangka banjir dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan peka dengan amaran pihak berkuasa.

Langkah itu susulan banjir gelombang pertama yang mula melanda Terengganu hari ini selepas hujan lebat berterusan sejak malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Lt Kol (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata walaupun keadaan cuaca semakin baik, penduduk diminta sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan arahan pihak berkuasa memandangkan amaran hujan lebat berterusan melibatkan enam negeri termasuk Terengganu hanya berakhir esok.

“Saya nasihatkan penduduk supaya dapatkan maklumat sahih berkaitan amaran bencana yang disalurkan melalui pelbagai medium.

“Sekiranya diarah berpindah, perlu berpindah segera. Jangan tunggu air naik baru nak pindah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal di sini, hari ini.

Sebanyak 213 mangsa daripada 58 keluarga ditempatkan di 33 PPS di tiga daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Besut setakat pukul 4 petang tadi.

Sementara itu seorang mangsa, Ruhani Mohamad, 58, berkata beliau bersama empat anggota keluarga lain berpindah ke PPS SK Tok Jembal kira-kira 8 pagi tadi selepas kediaman mereka dinaiki air dalam pukul 6 pagi.

Ruhani yang tinggal di Taman Murni Permai berkata setiap tahun mereka sekeluarga terpaksa berpindah ke PPS kerana sistem perparitan yang lemah di kawasan itu.

“Tahun ini sahaja dah dua kali mak cik pindah. Memang penat nak kemas barang sebab mak cik berniaga di kedai runcit. Tetapi kali ini kurang sikit kerugian sebab sudah buat persediaan awal.

“Dah berbelas tahun penduduk di sini minta supaya pihak berkuasa besarkan longkang untuk elak banjir, tetapi hingga kini tiada sebarang tindakan. Hanya datang ukur, selepas itu masalah sama berlaku lagi,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :