Kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) (kiri) melayan pelanggan yang membeli ayam segar sempena Jelajah Ehsan Rakyat di Dataran Batu Laut Tanjong Sepat pada 31 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
AGENDANASIONAL

Penduduk serbu jualan murah akhir tahun, 1,500 ekor ayam terjual

KUALA LANGAT, 31 DIS: Jelajah Ehsan Rakyat (JER) mega sempena penutup 2022 di Dataran Pantai Batu Laut diserbu orang ramai bagi mendapatkan barangan asas pada harga murah.

Tinjauan Selangorkini di lokasi mendapati mereka memenuhi ruang menunggu bawah khemah seawal 8 pagi meski jualan kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bermula 10 pagi.

Menurut pegawai kanan pemasaran PKPS, jualan terakhir tahun ini sedikit berbeza berikutan kuantiti produk ditambah tiga kali ganda daripada biasa bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Md Fazir Abdul Latif berkata sebanyak 1,500 ekor ayam segar habis terjual dalam tempoh dua jam setengah, selain 1,150 papan telur ayam gred B dan beras lima kilogram (400 pek).

“Walaupun jualan hujung tahun, namun kita masih mengamalkan konsep setiap orang hanya boleh beli dua ekor ayam dan telur sepapan, manakala barang-barang lain tiada had.

“Seperti biasa beberapa produk paling laris setiap kali JER singgah di kawasan penduduk iaitu ayam, telur, daging, ikan dan beras,” katanya ketika ditemui.

Orang ramai mengambil peluang memberi barangan asas pada harga murah sempena Jelajah Ehsan Rakyat di Dataran Batu Laut Tanjong Sepat pada 31 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM

Md Fazir berkata Dewan Undangan Negeri Tanjong Sepat dipilih sebagai lokasi terakhir penganjuran berikutan sambutan baik penduduk sepanjang 30 kali program diadakan.

“Sambutan di sini amat besar, malah jumlah jualan sentiasa melebihi RM50,000 sehari. Tambahan pula lokasinya strategik, mudah untuk pengunjung meletak kenderaan selain berdekatan pantai,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 per pek), minyak masak (RM25 sebotol) dan beras lima kilogram (RM10).

Turut dijual barangan kering keluaran jenama Ehsan PKPS seperti tepung gandum, gula, sos cili, sos tomato, kicap, sardin tin, biskut, beras puut, mi kering dan cili giling.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata program jualan murah menerima subsidi Kerajaan Negeri berjumlah RM6.16 juta dengan dua juta rakyat menerima manfaat sejak dilaksanakan September lalu.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan inisiatif kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) turut mencatatkan nilai jualan RM19.65 juta dan diteruskan sehingga Mac depan.


Pengarang :