DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah melakukan gimik perasmian Majlis Gala Ulang Tahun ke-5 Komuniti Belia Selangor (SAY) di Sunway Resort Hotel, Bandar Sunway, Petaling Jaya pada 15 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penerima anugerah Raja Muda Selangor tekad terus perkasa belia

Oleh DIANA ABD WAHAB

SUBANG JAYA 17 DIS: Penerima anugerah belia Raja Muda Selangor menjadikan pengiktirafan itu sebagai inspirasi untuk terus memperkasakan golongan itu.

Mohd Syafiq Ridzwan Jamaludin bersyukur apabila penglibatannya selama 10 tahun dalam pelbagai aktiviti kesukarelawanan diiktiraf.

Mohd Syafiq Ridzwan Jamaludin

“Pengiktirafan ini amanah berat namun saya jadikan ia sebagai aspirasi terus beri sumbangan bagi pastikan pembangunan belia semakin diperhebat,” katanya.

Mohd Syafiq antara tujuh ikon belia cemerlang yang menerima anugerah sempena Sambutan Gala Ulang Tahun Kelima Selangor Youth Community (SAY) Khamis lalu.

Muhammad Nizam Samsudin

Sementara itu, Adab Youth Garage yang dinobatkan pemenang Anugerah Organisasi Belia Terbaik mahu terus fokus meningkatkan akses dan peluang pendidikan kepada belia miskin bandar.

Ketua pengarah eksekutifnya berkata hadiah wang tunai RM10,000 yang dimenangi akan menambah dana organisasi itu untuk menganjurkan Kem Remaja Adab pada 27 Disember ini.

“Menerusi kem ini kita mahu remaja khususnya berusia 15 hingga 17 tahun sedar kepentingan pendidikan kerana mereka tak minat belajar kerana mahu cari duit segera dengan jadi pekerja gig. Tanggapan ini perlu diubah,” kata Muhammad Nizam Samsudin.

Daphne Ng Chiew Yen

Pemenang Ikon Kepimpinan SAY (sukan dan kesejahteraan) Daphne Ng Chiew Yen pula menyifatkan pengiktirafan itu amat bermakna kerana usahanya membantu pelajar universiti, kanak-kanak dan belia ketika pandemik Covid-19 membuahkan hasil.

“Memahami situasi ini saya hasilkan seminar kesihatan dan kecergasan mental, kelas senaman dari rumah malah anjurkan larian secara maya untuk pelajar universiti.

“Inisiatif ini bagi bantu individu di Malaysia dan Asia Pasifik mengisi masa terluang dan hilangkan kebosanan duduk di rumah berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya.


Pengarang :