Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melakukan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama Tentera Laut Diraja Malaysia ketika Istiadat Pemeriksaan Kehormatan Utama sempena Hari Keputeraan ke-77 DYMM Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 11 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penerima darjah kebesaran azam beri khidmat terbaik, junjung kasih penganugerahan

KLANG, 11 DIS: Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) berazam untuk terus memberi perkhidmatan terbaik dan memuaskan kepada rakyat Selangor.

Malah Dato’ Ramli Mohd Tahir menyifatkan penganugerahan Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S) itu bukanlah untuk dirinya sebaliknya hadiah kepada seluruh warga kerja KDEBWM.

“Mewakili warga kerja KDEBWM kami amat terharu, gembira dan bersyukur dengan penganugerahan yang diterima dan dengan darjah kebesaran ini, KDEBWM akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Selangor.

“Terima kasih saya ucapkan kepada keluarga yang amat memahami kerja kerana sentiasa perlu pulang lewat ke rumah terutama apabila Selangor dilanda bencana,” katanya.

Beliau berkata pengiktirafan itu memberi semangat kepada dirinya yang sudah berkhidmat sejak 16 tahun lalu dengan menambah baik KDEBWM.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan darjah dan bintang kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S) kepada Pengarah Urusan KDEB Waste Management Ramli Mohd Tahir sempena Hari Keputeraan ke-77 DYMM Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 11 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terdahalu, Ramli antara 11 penerima Darjah Kebesaran D.S.I.S yang membawa gelaran Dato’ sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ke-77 di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Dato’ Norazam Khamis yang dianugerahkan darjah kebesaran sama menyifatkan ia sebagai penghormatan dan pengiktirafan tertinggi buat pasukan penyelamat itu.

“Saya menjunjung kasih atas penganugerahan daripada Sultan Selangor. Ini merupakan pengiktirafan tertinggi kerana tiada pegawai tertinggi bomba Selangor menerima darjah kebesaran sebelum ini.

“Sebagai pasukan penyelamat, kami akan terus memberikan khidmat terbaik biarpun dalam apa jua bencana,” katanya.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan darjah dan bintang kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S) kepada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, Norazam Khamis sempena Hari Keputeraan ke-77 DYMM Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 11 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sempena Hari Keputeraan kali ini, Baginda berkenan mengurniakan darjah dan bintang kebesaran kepada 104 penerima.

Menerusi istiadat itu, Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mendahului senarai penerima dengan menerima Darjah Kelas Pertama iaitu Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) membawa gelaran Dato’ Seri.

Berangkat mengiringi Baginda, DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.


Pengarang :