Dua gadis membaca buku kumpulan drama muzikal Mendam Rindu yang baru dilancarkan oleh Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan di Galeri Seni Halus Aswara, Kuala Lumpur pada 29 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

Pengalaman anak pemandu bas diabadi dalam antologi drama muzikal

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Pengalaman sebagai anak pemandu bas awam sekitar tahun 90-an digunakan seorang penulis menghasilkan antologi drama muzikal Mendam Rindu.

Azielahaneem Idris berkata beliau mahu kecekalan Allahyarham bapanya Idris Daus yang memandu Bas Mini Wilayah (BMW) No 19 menjadi inspirasi kepada pembaca.

“Semasa kecil saya selalu mengikut dan menemani ayah mencari rezeki. Jadi, di situlah saya melihat bagaimana ayah bertungkus lumus bekerja.

“Saya juga mahu pembaca menjadikan kisah ayah sebagai satu inspirasi, selain mengabadikan nostalgia saya bersama ayah di dalam buku ini,” katanya.

Azielahaneem Idris

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel di majlis pelancaran buku antologi drama muzikal Mendam Rindu di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) semalam.

Azielahaneem merupakan antara sembilan pelajar Ijazah Sarjana Muda Penulisan Kreatif (Kepujian) yang menerbitkan naskhah tersebut.

Seorang lagi penulis, Fatema Ksani berkata beliau mahu menghasilkan karya drama muzikal yang berbeza tanpa menggunakan watak manusia.

“Saya mahu lakukan sesuatu yang berbeza. Jadi, saya mendapat ilham untuk menulis cerita mengenai molekul iaitu minyak dan air.

“Ini sekaligus memberi sedikit pengetahuan sains kepada pembaca mengenai minyak dan air dan bagaimana ia berfungsi,” katanya yang menghasilkan karya Tia dan Kio.

Mendam Rindu menghimpunkan empat karya menarik empat penulis wanita dan dijual pada harga RM28 senaskhah di kedai buku dan seni, Tokosue.


Pengarang :