Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof (tengah, hadapan) bergambar ketika majlis penutup Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 11 Disember 2022. Turut sama Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Datin Paduka Mastura Muhamad (kanan) dan ADN Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi (dua, kiri). Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKIN
AGENDANASIONAL

Penganjuran pesta buku seiring polisi tiada rakyat dilupakan

SHAH ALAM, 11 DIS: Penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 selari dengan polisi Kerajaan Negeri ‘no one left behind’ (tiada rakyat yang akan dilupakan) dalam menikmati kemajuan.

Ahli Parlimen Shah Alam berkata ia juga adalah bukti bahawa Selangor amat menitikberatkan kepentingan dan keperluan ilmu kepada semua peringkat masyarakat.

“SIBF ini bukan hanya untuk warga Shah Alam sahaja, tetapi untuk semua rakyat Selangor dan seluruh rakyat negara ini secara amnya.

“Kehadiran pengunjung yang ramai juga dapat memberi semangat kepada penulis untuk menghasilkan karya yang lebih baik pada masa akan datang,” kata Azli Yusof.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup SIBF 2022 yang diadakan di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), hari ini.

Suasana orang ramai mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 11 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Azli berkata kehadiran pengunjung yang ramai di SIBF 2022 membuktikan buku masih kekal relevan walaupun berdepan cabaran kepesatan teknologi maklumat.

Menurutnya, rujukan menerusi buku juga adalah lebih tepat berbanding perkara dalam teknologi maklumat yang boleh diragui kesahihannya.

“Pengalaman saya, perasaan memegang buku dengan telefon bimbit atau komputer adalah tidak sama. Apatah lagi banyak maklumat palsu yang lebih mudah tersebar terutamanya menerusi laman sosial,” katanya.

SIBF 2022 yang julung kali dianjurkan pada tahun ini adalah kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang telah dianjurkan selama 16 tahun.


Pengarang :