Gambar hiasan industri seni. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pengarah Sembilu harap Fahmi beri nafas baharu dalam industri kreatif

SHAH ALAM, 5 DIS: Datuk Yusof Haslam berharap Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil mampu membawa perubahan dan memacu industri kreatif ke tahap lebih baik.

Pengarah terkenal itu turut berharap isu membabitkan industri hiburan dan kreatif yang sekian lama membelenggu penggiat seni diselesaikan segera, lapor Berita Harian.

“Dalam usia masih muda, kita harap pelantikan Fahmi dapat membawa perubahan dan memberikan satu anjakan paradigma dalam industri kreatif,” katanya.

Pada masa sama, Yusof berharap kerajaan dapat memperkukuh jaringan kerjasama dengan Indonesia untuk membawa drama dan filem tempatan ke republik tersebut.

“Jika adanya jaringan kerjasama menerusi kerajaan, ia akan membuka ruang penggiat seni melangkah jauh, sekali gus membuktikan karya dari Malaysia tidak kurang hebat,” kata pengarah Sembilu itu.

Sebelum menyertai politik, Fahmi, 41, merupakan pelakon teater dan drama antaranya Gol & Gincu selain menghasilkan skrip filem Histeria yang ditayangkan di pawagam pada 2008.


Pengarang :