Kanak-kanak teruja melakukan eksperimen sains dibantu petugas jualan Ekploria di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam pada 3 Disember 2022. Foto Facebook Exploria
AGENDANASIONAL

Pengunjung cilik pesta buku negeri teruja lakukan eksperimen sains guna kit Exploria

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 10 DIS: Exploria tampil berbeza berbanding pempamer lain dengan menawarkan kit pembelajaran berasaskan modul Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022.

Produk interaktif robotik, slime (mainan lendir), seni dan kraftangan serta dron keluaran syarikat itu berjaya mencuri tumpuan pengunjung cilik sehingga enggan berganjak dari reruai berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Exploria Dr Raihan Musa berkata kit pembelajaran berkenaan mudah dibawa, difahami serta selamat bagi kegunaan kanak-kanak seawal usia empat tahun dengan pemantauan ibu bapa dan guru.

 

 

Dr Raihan Musa bersama produk Exploria di Pesta Buku Antarabangsa Selangor yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 10 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Kit ini menggunapakai modul STEM serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) beri peluang kanak-kanak lakukan eksperimen dan eksplorasi bagi pupuk minat terhadap sains dan tingkatkan kemahiran mereka.

“Melalui proses pasang sendiri kit ini ia secara tidak langsung galakkan kreativiti dan rangsang kemahiran motor (pergerakan) dan pancaindera iaitu penglihatan rasa dan sentuhan terutama golongan istimewa seperti penghidap autisme.

“Kita boleh kenalpasti kelebihan dan cungkil bakat kerana anak istimewa ini ada banyak kelebihan seperti kanak-kanak normal lain,” katanya yang juga pengasas Exploria kepada Selangorkini semalam.

Kit teknologi pendidikan (edtech) itu juga menyerlahkan potensi dan membantu kanak-kanak meneroka kemahiran baru berdasarkan minat mereka.

Penghasilan inovasi itu juga menerima pengiktirafan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) kerana memberi kesan sosial kepada masyarakat.

Medina Arshad, 7 bermain dengan ‘Slime Lab’ di gerai Exploria yang menjadi tumpuan kanak-kanak sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 9 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Ditanya produk paling laris dijual, lulusan Universiti Oxford ini berkata kit slime menyumbang 90 peratus daripada jualan sempena ekspo yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA di sini.

Exploria mampu meraih jualan RM10,000 sehari dan mencecah RM20,000 pada hujung minggu hasil sambutan luar biasa pengunjung terhadap kit pembelajaran yang ditawarkan.

Produk Exploria yang terdapat di Pesta Buku Antarabangsa Selangor yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 10 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

SIBF 2022 diadakan di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam sejak 1 hingga 11 Disember, bermula 10 pagi hingga 10 malam.

SIBF anjuran Kerajaan Negeri dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor sebagai urusetia julung kali diadakan hasil kesinambungan Pesta Buku Selangor yang diadakan sejak 2006.

Selain pameran dan jualan buku, pelbagai aktiviti menarik melibatkan pelajar dan kanak-kanak turut diadakan selain jualan pelbagai jenis makanan dan barangan.

Terdapat 295 gerai pameran dibuka dengan 13 daripadanya adalah gerai antarabangsa melibatkan China, Singapura dan Indonesia.


Pengarang :