Penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menjalankan pemeriksaan dalam Operasi Tomyam dan Premis Makanan Waktu Malam melibatkan 77 premis makanan. Foto MPKS
PBTSELANGOR

Pengusaha premis makanan gagal patuhi peraturan dikompaun

SHAH ALAM, 28 DIS: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengeluarkan 162 kompaun dan 18 notis kepada pengusaha premis makanan atas pelbagai kesalahan dari Mei hingga Oktober lalu.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berkata tindakan dibuat dalam Operasi Tomyam dan Premis Makanan Waktu Malam oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran dan pejabat kesihatan daerah Kuala Selangor membabitkan 77 premis makanan.

“Pemeriksaan premis makanan ini untuk memastikan tahap kebersihan premis berada pada tahap baik dan keselamatan makanan terjamin.

“Ia juga bertujuan memastikan premis makanan bersih dan selamat untuk dikunjungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tindakan diambil mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007 dan Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan (MDKS) 2007.

Selain itu, Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MDKS) 2007 dan Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 serta Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Sepanjang tempoh sama, PBT itu memaklumkan lapan premis diarah tutup 14 hari berikutan tidak mencapai tahap kebersihan memuaskan selain penemuan najis tikus dan lipas.

Jelasnya tindakan terhadap premis tersebut dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan perlu melaksanakan pembersihan segera secara menyeluruh sebelum dibenarkan beroperasi semula.

“Pemeriksaan seperti ini akan diperluaskan bagi mengekalkan tahap kebersihan yang baik terhadap pengusaha premis makanan,” katanya.


Pengarang :