Anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Cawangan Sepang menjalankan pemeriksaan Ops ATM (ayam, telur ayam dan minyak masak) di premis niaga sekitar Dengkil, Sepang pada 26 Disember 2022. Foto Facebook KPDN SELANGOR
AGENDANASIONALSELANGOR

Peniaga patuhi arahan, tiada kenaikan harga barang kawalan di Selangor

SHAH ALAM, 26 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor tidak mengesan kenaikan harga barang kawalan di pasaran setakat hari ketiga pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas.

Unit medianya memaklumkan laporan itu berdasarkan pemeriksaan anggota penguat kuasa di premis sekitar Kuala Kubu Bharu, Sepang, Kuala Selangor, Kajang dan Petaling Jaya.

“Tiada kenaikan dan jualan melebihi harga ditetapkan dikesan. Peniaga diingatkan untuk sentiasa mengamalkan etika perniagaan yang baik.

“Tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana peniaga yang gagal mematuhi undang-undang,” kata agensi itu di Facebook semalam.

Sementara itu, KPDN Selangor memaklumkan pemeriksaan SHMMP Krismas diadakan serentak dengan Operasi ATM (Ayam, Telur Ayam dan Minyak Masak).

“Pemeriksaan mendapati bekalan ayam, telur ayam dan minyak masak ada dijual di premis yang diperiksa. Bekalan di pasaran masih mampu menampung permintaan pengguna,” katanya.

SHMMP Krismas berkuat kuasa dari 23 Disember hingga esok dengan enam jenis barangan disenaraikan harga maksimum.

Barangan itu seperti tomato dengan harga runcit RM5 sekilogram, daging kambing biri-biri bertulang import (RM37 sekilogram), lada benggala hijau (RM14 sekilogram), kubis bulat import (RM4 sekilogram), lobak merah (RM4.50 sekilogram) dan ubi kentang import (RM4 sekilogram).

Sebelum ini, EXCO hal ehwal pengguna berkata kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum bagi individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Manakala bagi syarikat, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata boleh didenda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.


Pengarang :