Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Belanjawan Selangor 2023 dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada 25 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penjawat awam di Selangor terima bantuan khas kewangan sebulan gaji esok

SHAH ALAM, 28 DIS: Penjawat awam di Selangor akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) satu bulan yang dibayar esok, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata BKK itu sebagai tanda penghargaan serta komitmen penjawat awam yang menjadi tulang belakang kemajuan Selangor selama ini.

“InsyaAllah esok (29 Disember) Bantuan Khas Kewangan akan diberi sebagai tanda penghargaan serta komitmen para penjawat awam yang menjadi tulang belakang kemajuan Negeri Selangor.

“Semoga memberi manfaat dan membantu kitaran ekonomi negara,” kata beliau menerusi ciapan di Twitternya hari ini.

Ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2023 pada 25 November lalu, Amirudin mengumumkan BKK sebanyak dua bulan setengah tahun ini, termasuk satu bulan dibayar pada 29 Disember ini dan setengah bulan lagi pada Februari 2023.

Jumlah dua bulan setengah ini termasuk BKK sebanyak sebulan gaji yang sudah selesai dibayar menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.

Beliau memaklumkan insentif kali kedua tahun ini, atau bayaran sekurang-kurangnya RM1,000, membabitkan implikasi kewangan RM37.63 juta.

BKK kali ketiga, atau minimum RM1,000 pula, akan dibayar bagi meringankan beban penjawat awam menampung persiapan sekolah anak-anak pada kemasukan Mac 2023.

“Untuk menghargai khidmat cemerlang serta komitmen penjawat awam dalam memastikan perkhidmatan Kerajaan Negeri kekal efisien dan berkesan, sukacitanya saya mengumumkan BKK kepada semua anggota berkelayakan.

“(Ini termasuk) anggota yang anggota perkhidmatan Kerajaan Negeri yang gajinya dibayar oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023.


Pengarang :