Penjawat awam melafazkan Ikrar Perkhidmatan Awam dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penjawat awam, pesara akan terima bantuan khas kewangan pada 17 Januari

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2023 sebanyak RM700 kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah dan RM350 kepada satu juta pesara kerajaan akan dibayar pada 17 Januari depan.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dalam Facebooknya hari ini, memaklumkan pesara kerajaan yang sedang menerima pencen, penerima pencen terbitan, pesara perkhidmatan awam skim KWSP dan veteran berpencen serta tidak berpencen akan menerima bantuan RM350 pada hari yang sama.

JPA turut memuat naik surat edaran yang ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah, Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr Zulkapli Mohamed bertarikh 27 Disember 2022.

Menurut surat pekeliling tersebut, BKK tersebut layak diberikan kepada pegawai Perkhidmatan Awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana yang masih berkhidmat pada 17 Januari 2023 meliputi pegawai lantikan tetap, sementara dan Kontrak Perkhidmatan (COS); pegawai yang bercuti bergaji penuh; pegawai yang bercuti separuh gaji dan pegawai yang bercuti tanpa gaji.

Ia juga layak dibayar kepada pegawai lantikan Malaysia Short-Term Employmen Programme (MySTEP) yang berkhidmat sekurang-kurangnya enam bulan pada 2022 dan masih berkhidmat sebagai MySTEP pada 17 Januari 2023.

– BERNAMA


Pengarang :