Canselor Universiti Selangor (Unisel) Tan Sri Raja Arshad Tun Uda (kanan) menyerahkan cek cura bernilai RM5,000 kepada penerima Anugerah Khas Perdana Menteri Muhammad Fairuz Abd Rauf (tengah) sempena Istiadat Konvokesyen Unisel ke-16 di Dewan Canselor Unisel kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 3 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pensyarah Unisel antara dua penerima Anugerah Khas Perdana Menteri

KUALA SELANGOR, 4 DIS: Pensyarah Fakulti Komunikasi Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel) menerima Anugerah Khas Perdana Menteri pada Istiadat Konvokesyen Ke-16 semalam.

Dr Muhammad Fairuz Abd Rauf yang kini graduan Ijazah Doktor Falsafah Komputeran berkata pengurusan masa amat penting dalam menggalas tanggungjawab bagi mencapai kejayaan.

Penerima Anugerah Khas Perdana, Menteri, Dr Muhammad Fairuz Abd Rauf

“Biarpun perlu bangun seawal 4 pagi untuk belajar dan kadang kala pulang lewat daripada universiti, saya mampu menghadapinya atas sokongan dan dorongan keluarga.

“Keluarga terutama ibu, isteri dan anak memainkan peranan utama dan pendorong untuk meneruskan pengajian termasuk universiti yang sentiasa membantu dalam pengajian,” katanya.

Beliau yang juga pengarah Pusat Teknologi Komunikasi dan Informasi Unisel berkata beliau membawa semangat keluarga untuk berdiri dan berjalan kerana beberapa hari lepas beliau mengalami kecederaan dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

Manakala pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian), M Sangetha, 23, berkata beliau tidak menyangka menjadi salah seorang penerima Anugerah Khas Perdana Menteri.

Penerima Anugerah Khas Perdana Menteri, M Sangetha

“Saya dimaklumkan Rabu lalu menerusi emel dan sejujurnya perasaan bercampur baur gembira, teruja dan bangga dengan pencapaian ini. Anugerah ini untuk keluarga yang banyak beri galakkan sepanjang pengajian.

“Saya memilih Unisel kerana abang saya pernah menjadi penuntut di sini dan apabila belajar sentiasa ingat bahawa kehidupan di universiti bukan belajar semata-mata tetapi ia beri pengalaman hidup untuk melihat dunia luar,” katanya.

Penerima Anugerah Canselor, Cindy Chan Sze Yee

Sementara itu, penerima Anugerah Canselor, Cindy Chan Sze Yee berkongsi kejayaan memaklumkan sering mencari maklumat tambahan di dalam talian untuk meningkatkan ilmu pengetahuan.

“Ilmu diberikan pensyarah cukup tetapi sebagai seorang pelajar perlu meningkatkan pengetahuan melalui pelbagai medium sama ada di perpustakaan atau e-book.

“Saya perlu belajar bersungguh-sungguh dan bawa kejayaan ini kepada keluarga berada di Miri, Sarawak. Saya bercadang untuk menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana,” katanya.

Bagi Anugerah Khas Perdana Menteri, penerima membawa pulang wang tunai RM5,000 manakala Anugerah Canselor pula RM3,000 dan masing-masing menerima trofi.


Pengarang :