Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan pada sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 6 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pentadbiran negeri diseru terap suasana baharu, seiring perpaduan peringkat pusat

SHAH ALAM, 6 DIS: Dato’ Menteri Besar menyeru pentadbiran negeri supaya mewujudkan suasana baharu seiring semangat perpaduan di peringkat persekutuan ketika ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau percaya satu usaha sedang digerakkan oleh pimpinan kumpulan politik bagi merapatkan hubungan dan mengelakkan perbezaan.

“Semoga apa yang kita bincangkan akan menimbulkan suasana baru, apatah lagi dengan suasana perubahan politik yang berlaku di negara kita, khususnya selepas pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Saya rasa inilah konsep yang sekian lama kita cuba terapkan dalam sidang dewan negeri serta pentadbiran Selangor dengan cuba melayani semua kelompok termasuk memberikan peruntukan kepada pembangkang dan sebagainya.

“Pengalaman berdepan bencana alam, pandemik serta kemungkinan kegawatan ekonomi tahun hadapan menuntut semua pihak untuk bersama merapatkan hubungan,” katanya dalam ucapan penangguhan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Amirudin turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak khususnya kakitangan awam negeri yang bertungkus lumus melaksanakan sidang DNS kali ini.

“Insya-Allah kita akan ada satu lagi sidang selepas ini. Yang pasti, ini adalah belanjawan terakhir kerana pada Jun kita akan terbubar secara rasmi,” katanya.

Sidang DNS ditangguhkan ke suatu masa yang akan dimaklumkan kelak.

 


Pengarang :