Anggota bomba meninjau dua rumah rosak akibat tebing tanah di belakang rumah tersebut runtuh dalam kejadian di Taman Halaman, Ampang pada 9 Disember 2022. Foto Facebook Traffic Info Crew
EXCOSELANGOR

Penyelesaian insiden tanah runtuh Ampang dibentang kepada penduduk hari ini

OLEH SHAMZ JOHAN

AMPANG, 13 DIS: Keadah penyelesaian insiden tanah runtuh di Taman Halaman, Ampang akan dibentangkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada penduduk hari ini.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail bagaimanapun menggesa penduduk agar sentiasa memantau dan melaporkan segera kepada pihak berkuasa jika berlaku pergerakan tanah.

“Saya meminta pihak MPAJ dan JKR mencari beberapa solusi bagi pengukuhan cerun tersebut dan akan bentangkan kaedah penyelesaian juga kepada penduduk pada Selasa (hari ini),” katanya ketika dihubungi.

Menurut Rodziah, pihak bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga akan terus memantau situasi semasa berikutan cuaca buruk selain menjaga keselamatan harta benda di rumah yang terlibat.

Pada 9 Disember lalu, seorang wanita warga emas antara enam individu yang terselamat dalam insiden tanah runtuh berketinggian sembilan meter di Taman Halaman, Ampang.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.14 petang itu, tebing berukuran anggaran 9 meter x 15 meter persegi runtuh dan mengenai bahagian belakang dua buah rumah dengan satu rumah kosong dan satu rumah berpenghuni.

Pihak bomba kemudian mengarahkan semua penghuni keluar dari rumah buat sementara waktu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.


Pengarang :