Orang ramai keluar membeli barangan keperluan ketika tinjauan di sebuah pasar raya sekitar Kuala Lumpur pada 22 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Perangkaan: Inflasi negara kekal 4.0 peratus pada November

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Inflasi Malaysia kekal di paras 4.0 peratus pada November 2022 yang menyamai bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi November 2022 mencatat 129.0 berbanding 124.0 pada tempoh sama setahun lepas.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata inflasi kumpulan makanan meningkat 7.3 peratus dan kekal sebagai penyumbang utama kenaikan inflasi bulan ini manakala restoran dan hotel meningkat 7.0 peratus daripada 6.8 peratus pada Oktober 2022.

“Peningkatan lebih perlahan direkodkan bagi kumpulan pengangkutan (5.0 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.8 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kumpulan utama lain yang turut mencatat peningkatan adalah perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (3.6 peratus), pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.6 peratus) serta pendidikan (1.5 peratus).

Selain itu, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain dan kesihatan masing-masing merekodkan kenaikan sebanyak 1.4 peratus manakala minuman alkohol dan tembakau serta pakaian dan kasut masing-masing meningkat sebanyak 0.8 peratus dan 0.4 peratus berbanding November 2021, katanya.

Inflasi teras yang mengukur perubahan dalam harga barang dan perkhidmatan tanpa mengambil kira harga makanan segar yang tidak menentu serta harga barangan kawalan oleh kerajaan, mencatat peningkatan 4.2 peratus pada November 2022 berbanding tempoh sama pada 2021.

“Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol iaitu 8.2 peratus,” katanya.

Mohd Uzir berkata inflasi bagi Januari hingga November 2022 meningkat 3.4 peratus berbanding 2.3 peratus bagi tempoh sama tahun lepas, didorong terutamanya oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (5.6 peratus), pengangkutan (4.7 peratus) dan restoran serta hotel (4.7 peratus).

Kadar inflasi bulan ke bulan pada November 2022 meningkat 0.3 peratus berbanding 0.2 peratus pada Oktober 2022 yang disumbangkan terutamanya oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (0.7 peratus) dan restoran serta hotel (0.5 peratus).

Selain itu, kata beliau, kesihatan dan pelbagai barangan serta perkhidmatan masing-masing meningkat 0.3 peratus.

Empat negeri mencatat inflasi melebihi paras nasional 4.0 peratus iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (7.9 peratus), Selangor (4.8 peratus), Sarawak (4.7 peratus) dan Johor (4.2 peratus).

“Inflasi bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000 meningkat 3.9 peratus daripada 124.7 pada November 2021 kepada 129.6 pada November 2022 yang disumbangkan oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol sebanyak 6.9 peratus,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :