Sukarelawan Duta Komuniti memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) pengembara luar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan pembukaan sempada negara pada 1 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Perhalusi SOP kemasukan pelancong China, elak penularan Covid-19

SHAH ALAM, 30 DIS: Dato’ Menteri Besar akan berbincang dengan menteri berkaitan untuk memperhalusi tatacara operasi piawai (SOP) kemasukan pelancong China bagi mengelak penularan Covid-19 di negeri itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan langkah tersebut berikutan Selangor merupakan pintu masuk utama negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2 di Sepang.

“Memandangkan Selangor merupakan pintu masuk utama negara di mana terletaknya KLIA dan KLIA 2, saya akan berbincang dengan menteri kesihatan dan menteri dalam negeri agar memperhalusi SOP.

“(SOP) kemasukan pelawat dari China supaya tidak memberi kesan negatif terhadap jumlah kes Covid-19 dan rakyat di Selangor,” katanya di Facebook malam tadi.

Kenyataan Amirudin itu susulan kebimbangan penularan Covid-19 di wilayah perindustrian besar Zhejiang berhampiran Shanghai, China yang sedang bergelut dengan sejuta kes baharu setiap hari.

Kerajaan wilayah itu pada Isnin turut menjangka jumlah jangkitan akan meningkat dua kali ganda dalam tempoh beberapa hari akan datang, termasuk kes tanpa gejala.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai terutama petugas hadapan untuk mendapatkan vaksin dos penggalak bagi mendapat perlindungan optimum.


Pengarang :