Orang ramai membeli juadah di bazar Ramadan. Foto Facebook Majlis Bandaraya Subang Jaya
PBTSELANGOR

Permit bazar Ramadan, raya MPKS dibuka dalam talian mulai 5 Januari

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 28 DIS: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) membuka permit bazar Ramadan secara dalam talian dari 5 hingga 19 Januari ini.

MPKS memaklumkan permohonan boleh dibuat mulai 12 tengah hari melalui https://ip3ks.mpks.gov.my/.

Sebanyak 14 lokasi disediakan untuk bazar Ramadan dengan bayaran petak antara RM300 hingga RM400.

“Keutamaan diberikan kepada penjaja berlesen di tapak sedia ada dan pemohon hendaklah bebas daripada sebarang kompaun MPKS.

“Pemohon perlu mendaftar dengan aplikasi perniagaan dalam talian Platform Selangor (PLATS),” kata agensi itu di Facebook.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut berkata tambahan bayaran sebanyak RM60 dikenakan bagi jualan air tebu dan kelapa.

Lokasi bazar Ramadan adalah di hadapan LADA Kuala Selangor, Lotus Kuala Selangor, terminal bas Bandar Melawati, Jalan K/P1 Tanjong Karang dan medan selera MPKS.

Selain itu Jalan Naluri Sukma Puncak Alam; hadapan balai raya Saujana Utama; Jalan Sejati 1, Ijok; Desa Coalfields; tapak pasar awam lama Sungai Buloh: Bandar Puncak Alam; Astana Alam Fasa 3; Alam Jaya dan Jalan Dataran Suria 15/7/1 di Puncak Alam.

Sementara itu MPKS turut membuka permit untuk bazar raya yang disediakan di dua lokasi.

Bazar raya di Jalan K/P1 Tanjong Karang bermula 23 Mac sehingga 21 April dengan bayaran petak RM400.

Satu lagi lokasi di hadapan Pasar Awam Sungai Buloh bermula dari 17 hingga 21 April dengan bayaran petak RM250.

Pertanyaan lanjut boleh hubungi Jabatan Pelesenan MPKS di talian 03-32891439 samb 184.


Pengarang :