Penghantar barangan hadir menerima inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang diperkenalkan Kerajaan Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Permohonan bantuan pembelian motosikal pekerja gig dibuka hingga 7 Disember

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

KLANG, 4 DIS: Pekerja gig (p-hailing) digesa merebut peluang membuat permohonan bagi program Bikecare-1000 iaitu bantuan bayaran pendahuluan pembelian motosikal.

Ketua Penyelaras Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS), S Vijayan berkata permohonan dibuka sehingga 7 Disember ini.

“Setakat ini UPPS sudah menerima kira-kira 90 permohonan dan kami sasarkan untuk luluskan 100 permohonan.

“Setiap permohonan akan ditapis dan peluang dibuka kepada mereka yang baru hendak menceburi bidang p-hailing dan juga yang sudah bekerja tetapi memerlukan motosikal baharu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Danasiswa Pekerjaan Selangor, hari ini.

S Vijayan

Majlis berkenaan disempurnakan EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau yang menyaksikan Pertubuhan Kebajikan Siswa Siswi menerima dana RM19,750 yang akan memanfaatkan 75 individu untuk mendapat latihan dan peluang pekerjaan dalam bidang automotif.

Bikecare-1000 adalah inisiatif Kerajaan Negeri memberi bantuan bayaran pendahuluan RM1,000 untuk pembelian motosikal kepada pekerja gig (p-hailing) yang memerlukan.

Antara syarat kelayakan permohonan termasuk pemohon merupakan warga Selangor, berusia 18 tahun ke atas, mempunyai lesen motosikal yang sah dan tidak disenarai hitam CTOS/CCRIS.


Pengarang :