Ahli Dewan Negeri DUN Pandamara Tony Leong Tuck Chee mengedarkan kalender Tahun 2023 di Pasar Pagi Taman Chi Liung, Klang pada 24 Disember 2022. Foto Facebook Tony Leong Tuck Chee
ADNSELANGOR

Permohonan baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina DUN Pandamaran dibuka esok

SHAH ALAM, 26 DIS: Permohonan baucar beli-belah sempena Tahun Baharu Cina dibuka kepada masyarakat Tionghoa sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran mulai esok.

Ahli Dewan Negerinya Tony Leong Tuck Chee berkata pemohon perlu memenuhi kriteria bagi melayakkan mereka memperoleh baucar Jom Shopping bernilai RM200.

ADN Pandamaran, Leong Tuck Chee bercakap kepada Media Selangor ketika program Selvax Remaja DUN Pandamaran di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Klang pada 31 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Pemohon mesti berpendapatan bawah RM2,000 sebulan dan perlu menyertakan slip gaji atau salinan kumpulan wang simpanan pekerja (KWSP).

“Setiap keluarga hanya boleh memohon sekali sahaja manakala penerima Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) tidak layak memohon.

“Permohonan mesti disertakan salinan kad pengenalan (suami dan isteri) manakala suami atau isteri kematian pasangan perlu bawa surat pengesahan kematian dan mereka yang bercerai menyertakan surat perceraian,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, beliau memaklumkan proses tapisan segera dibuat sebaik tempoh permohonan tamat dijangka pada 6 Januari depan.

“Semakan dibuat dengan teliti berikutan hanya 400 baucar disediakan kali ini berbanding 700 sebelum ini.

“Agihan baucar kepada penerima yang layak dibuat serentak dijangka pada 14 Januari di pasaraya Giant Bukit Tinggi, Klang,” katanya.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM16.48 juta bagi program pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan yang akan memanfaatkan 82,400 penerima.

Program itu merupakan bantuan yang dilaksanakan sempena tiga perayaan utama iaitu  Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali bagi meringankan beban keluarga kurang mampu untuk membeli barangan keperluan.

Nilai baucar juga dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 berikutan situasi ekonomi dan keperluan rakyat.


Pengarang :