Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (tengah) bersama guru dan pelajar Sekolah Seni Kuala Lumpur selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku Cerita Young Emerging Talents Sekolah Seni Kuala Lumpur sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 8 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Persekitaran baik, sokongan keluarga jamin kelangsungan bakat murid

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 9 DIS: Persekitaran yang baik dan membina mampu menjamin kelangsungan penghasilan bakat dan karakter murid untuk jangka masa panjang, kata menteri pendidikan.

Menurut Fadhlina Sidek, sokongan ibu bapa, minat dan kerjasama erat semua pihak juga penting untuk memastikan kemahiran sedia ada berkembang ke pasaran dunia.

“Sebab itu ada mengatakan ‘perlu peranan sekampung untuk membesarkan seorang anak’ yang membuktikan ekosistem yang kuat itu penting dalam membentuk karakter anak-anak,” katanya semalam.

Beliau berucap merasmikan pelancaran lima buku cerita bawah Program Young Emerging Talents (YET), Sekolah Seni Malaysia, Kuala Lumpur sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 di sini.

Lima buku berkenaan dihasilkan lima pelajar sekolah berkenaan yang pernah diperkenal dalam Program Pengantarabangsaan Karya Malaysia di Pesta Buku Frankfurt, Jerman pada 19 hingga 23 Oktober lalu.

SIBF 2022 diadakan sejak 1 Disember lalu di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berakhir Ahad ini dengan menyasar kehadiran sejuta pengunjung selama 11 hari berlangsung.


Pengarang :