AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pesta buku antarabangsa: PPAS sedia pembelian di Shopee, bayaran tanpa tunai

SHAH ALAM, 1 DIS: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor menyediakan perkhidmatan pembelian buku menerusi platform Shopee pada Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022 yang bermula hari ini.

Ketua Bahagian Korporatnya Zafrullah Aris berkata perkhidmatan itu disediakan bagi memudahkan individu yang tidak berkesempatan hadir ke pesta buku mendapatkan naskhah digemari.

“Tidak semua terlibat dengan jualan menerusi Shopee dan hanya 47 pempamer berdaftar dengan aplikasi ini untuk menjual buku syarikat masing-masing.

“Selain itu, kita juga menyediakan perbankan mudah alih Maybank, MAE yang akan digunakan lebih 200 pempamer sebagai kemudahan pembayaran tanpa tunai pada pesta buku kali ini,” katanya dihubungi SelangorKini.

Pesta Buku Antarabangsa Selangor berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 13 dari 1 hingga 11 Disember 2022 dengan menampilkan pengedar dan penerbit luar negara.

Bloomsbury dan Wiley dari United Kingdom dan Brand Media dari Indonesia antara penerbit yang dibawa khas PPAS kepada pencinta buku sempena pesta julung kali dianjurkan itu.

Menerusi pesta buku itu, pengunjung berpeluang menjadi salah seorang daripada sembilan pemenang cabutan bertuah wang tunai RM500 setiap hari serta beberapa aktiviti sampingan antarabangsa turut dijalankan seperti Peraduan Kanak-Kanak Antarabangsa Selangor yang melibatkan penceramah dari luar negara.

PPAS menganjurkan Pesta Buku Selangor sejak 16 tahun lalu, namun pada kali ini memperkenalkan Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022.


Pengarang :