Orang ramai mengambil kesempatan membeli buku dalam Pesta Buku Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 3 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pesta buku negeri dihadiri hampir 150,000 pengunjung dalam tempoh 5 hari

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 5 DIS: Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 bertempat di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, menerima hampir 150,000 pengunjung sejak dibuka 1 Disember hingga hari ini.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad berkata acara yang berlangsung selama 11 hari itu menerima jumlah kehadiran paling ramai pada Sabtu lalu iaitu lebih 30,000 orang.

Datin Paduka Mastura Muhamad ditemui Selangorkini di pesta buku antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam. pada 5 Dismember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Jumlah reruai yang dibuka juga bertambah daripada 295 kepada 303,” katanya ketika ditemui di SIBF yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA hari ini.

Ditanya reruai buku yang mendapat jualan tertinggi, Mastura memberitahu, reruai PTS Media Group antara yang mendapat sambutan dan jualan menggalakkan.

Dalam masa sama kata beliau turut mengalu-alukan sokongan pemimpin terutama pemimpin negeri agar datang melawat SIBF.

SIBF anjuran Kerajaan Negeri dengan PPAS sebagai urusetia julung kali diadakan hasil kesinambungan Pesta Buku Selangor yang diadakan sejak 2006.

Selain pameran dan jualan buku, pelbagai aktiviti menarik melibatkan pelajar dan kanak-kanak turut diadakan selain jualan pelbagai jenis makanan dan barangan.

Sebelum ini, PPAS menyasarkan kehadiran kira-kira 300,000 pengunjung hadri SIBF yang berlangsung mulai 1 hingga 11 Disember.


Pengarang :