Orang ramai membelek naskhah yang dijual dalam Pesta Buku Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam pada 3 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pesta buku negeri medan semarak kembali naskhah tempatan

SHAH ALAM, 7 DIS: Usaha negeri menganjurkan Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 mulai 1 Disember lalu selaras hasrat menyemarak kembali industri buku tempatan.

Justeru, pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata jumlah kehadiran pengunjung bukan ukuran, sebaliknya mahu memastikan bahan penerbitan yang dipasarkan laris.

“Setakat ini, lebih 100,000 pengunjung hadir ke SIBF tetapi jumlah bukan ukuran. Kita gembira apabila pempamer memaklumkan jualan mereka bagus.

“Ia cukup menyentuh hati saya kerana kuasa membeli tinggi, sesuai dengan matlamat kita untuk menaikkan industri buku,” kata Datin Seri Paduka Mastura Muhammad.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Ahmad ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 pada 7 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Ditemui di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, beliau berkata novel, buku kanak-kanak dan pengurusan antara naskhah paling mendapat sambutan pembeli.

“Daripada segi buku fiksyen dan bukan fiksyen pula seimbang. Insya-Allah kita doakan semua pempamer balik dengan kotak kosong (habis terjual),” katanya.

Dalam pada itu, Mastura mempelawa orang ramai memanfaatkan penganjuran SIBF yang berbaki lima hari lagi untuk mendapatkan pelbagai bahan bacaan selain menyertai aktiviti menarik disediakan. .

“Cabutan bertuah turut dibuat sebanyak sembilan kali setiap hari kepada pengunjung yang membeli bahan bacaan dan mereka berpeluang menang wang tunai RM500,” katanya lagi.

SIBF yang dianjurkan sejak 2006 turut disertai pempamer luar negara antaranya China, Singapura (membawa buku dari United Kingdom dan Amerika Syarikat) serta Indonesia.

Program Kandungan Kanak-Kanak Antarabangsa Selangor (SICC) pula menampilkan tujuh felo yang didatangkan khas dari United Kingdom, Macedonia, Korea Selatan, Mesir dan Indonesia.


Pengarang :