Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cenderhati kepada wakil luar negara bagi Selangor International Fellowship Programme selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pesta buku Selangor medan lahir penulis, penerbit antarabangsa

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 3 DIS: Pesta Buku Antabangsa Selangor (SIBF) 2022 menjadi medan mengetengahkan penerbitan tempatan ke peringkat antarabangsa.

Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri komited dalam membantu penerbit dan penulis buku tempatan memasarkan karya penerbitan mereka ke luar negara.

“Kita semua tahu kesan besar siri Harry Potter di seluruh dunia tetapi tidak ramai tahu permulaan sukar terpaksa dilalui JK Rowling sebelum siri itu menjadi popular.

“Mungkin terlalu awal atau bercita-cita tinggi untuk mengatakan bahawa SIBF bertujuan melahirkan lebih ramai pengarang yang karyanya diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa berbeza di seluruh dunia.

“Namun sebagai Menteri Besar mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa saya berharap agar Selangor suatu hari nanti akan mempunyai pengarang berjaya seperti JK Rowling,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Berucap merasmikan SIBF 2022 beliau berkata Kerajaan Negeri juga komited mengetengah industri penerbitan buku kanak-kanak seperti penganjuran Pesta Buku Kanak-Kanak Antarabangsa Bologna, Itali.

“Kita komited untuk merealisasikan aspirasi menjadi Bologna Asia Tenggara yang mana di bawah jenama Kandungan Kanak-Kanak Antarabangsa Selangor buat pertama kalinya diperkenalkan Program Felo Antarabangsa Selangor dan Anugerah Ilustrator Yusof Gajah 2023.

“Melaluinya tokoh berpengaruh dari United Kingdom, Macedonia Utara, Mesir, Türkiye, Korea Selatan dan Indonesia akan berkongsi pengetahuan dan kepakaran penerbitan global sekali gus membuka peluang untuk kerjasama serta ilustrator tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Amirudin berkata langkah itu memberi mereka ruang menghantar karya terbaik dan bersaing dalam anugerah di peringkat antarabangsa.


Pengarang :