Orang ramai mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 11 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Pesta buku Selangor rekod 200,000 pengunjung, nilai jualan lebih RM5 juta

SHAH ALAM, 11 DIS: Selepas 11 hari penganjuran, Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 yang berakhir hari ini merekodkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata sejak penganjuran 1 Disember lalu, jumlah nilai jualan keseluruhan yang dicatatkan melebihi RM5 juta.

Datin Paduka Mastura Muhamad berkata SIBF 2022 yang julung kali dianjurkan tahun ini telah dipersetujui untuk dijadikan acara tahunan Kerajaan Negeri.

“Tahun hadapan kita akan anjurkan pada tarikh dan di lokasi sama. Selepas ini kita akan melakukan ‘post-mortem’ untuk kita menambah baik program ini pada masa akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Datin Paduka Mastura Muhamad

Mastura berkata SIBF 2022 adalah kesinambungan daripada penganjuran Pesta Buku Selangor yang telah diadakan selama 16 tahun sebelum ini.

Menurutnya ia adalah hasil cadangan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang mahu menaiktaraf Pesta Buku Selangor ke peringkat antarabangsa.

“Setakat ini kami menerima maklum balas yang baik daripada pempamer antarabangsa dari lapan negara yang mengambil bahagian dalam SIBF 2022.

“Kami berharap pada tahun hadapan akan ada lebih ramai pempamer dari luar negara yang dapat menyertai SIBF,” katanya.

Orang ramai mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 11 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

SIBF 2022 yang diadakan di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melibatkan 225 pempamer tempatan dan antarabangsa.

Wakil industri dari lapan negara luar itu ialah United Kingdom, Turki, North Macedonia, Korea Selatan, Egypt, Indonesia, China dan Singapura.


Pengarang :