Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon. Foto Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
AGENDASUKANKINI

Piala AFF: Pan Gon mohon maaf tewas kepada Vietnam, fokus berdepan Singapura

HANOI, 28 DIS: Ketua jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon memohon maaf kepada semua peminat bola sepak tanah air atas kekalahan 3-0 kepada Vietnam pada aksi Kumpulan B saingan Piala AFF 2022 di Stadium Nasional My Dinh, di sini, malam tadi.

Jurulatih berusia 53 tahun dari Korea Selatan itu tampil membuat permohonan maaf kepada rakyat Malaysia kerana gagal meraih kemenangan dan menyifatkan Vietnam menampilkan aksi yang lebih baik.

“Namun bagi skuad Harimau Malaya, pemain telah cuba yang terbaik…malah mereka mengikut arahan barisan kejurulatihan dan pada babak pertama, mengawal keadaan sehingga kesilapan semasa tendangan sudut.

“Ada peluang untuk menang malam ini tetapi saya tidak tahu apa yang berlaku, saya perlu kembali dan lihat. Saya tidak ada aduan mengenai pemain dan mungkin jika saya buat silap, kami akan semak untuk membetulkan sesuatu sebelum pertembungan dengan Singapura,” katanya semasa sidang media selepas perlawanan tersebut.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan dengan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Januari, jurulatih itu berkata: “Kami tidak mempunyai masa untuk berlengah lagi, kami akan cepat pulih dan merancang dengan baik untuk perlawanan dengan Singapura,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Vietnam, Park Hang Seo, berpendapat Malaysia tidak mempunyai sebab untuk mengadu tentang keputusan itu terutama penalti kontroversi yang diberikan dan tindakan buang padang pemain pertahanan Muhammad Azam Azmi Murad kerana kekasaran yang jelas di luar kawasan permainan ke atas Doan Van Hau.

Jurulatih dari Korea Selatan itu menegaskan bahawa bola sepak adalah sukan yang mempunyai peraturan dan mana-mana pemain yang melakukan kesalahan akan dihukum.

“Bola sepak adalah sukan di mana kami perlu melakukan apa yang kami mampu untuk menang, tetapi bola sepak juga mempunyai peraturan. Jadi, jika anda melanggar peraturan, anda akan dihukum,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :