Malaysia merampas posisi pendahulu Kumpulan B saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022, selepas membenam Laos 5-0 di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini, malam ini. Foto FAM
AGENDASUKANKINI

Piala AFF: Skuad Harimau Malaya pamer taring, belasah Laos 5-0

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Malaysia merampas posisi pendahulu Kumpulan B saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022, selepas membenam Laos 5-0 pada perlawanan kedua di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini, malam ini.

Pemain sayap sensasi Mohamad Faisal Halim, meneruskan rentak cemerlangnya apabila meledak dua gol menerusi tandukan pada babak kedua perlawanan, selepas pemain naturalisasi Sergio Aguero, meletakkan skuad Harimau Malaya di depan pada separuh masa pertama.

Pemain gantian Muhammad Haqimi Azim Rosli dan Stuart Wilkin, masing-masing melengkapkan kemenangan selesa pasukan negara, menyaksikan Malaysia bukan sekadar meraih tiga mata kedua, tetapi turut mengurangkan perbezaan gol dengan Vietnam di kedudukan kedua, yang kurang satu perlawanan.

Pada aksi dihadiri 29,961 penonton itu, Ketua Jurulatih negara Kim Pan Gon jelas mahu merehatkan skuad utamanya menjelang aksi berdepan Vietnam Selasa depan, apabila sebanyak lapan pertukaran dibuat dalam kesebelasan utama yang menewaskan Myanmar 1-0 pada aksi pembukaan Rabu lepas.

Hanya tiga pemain dikekalkan Pan Gon iaitu pemain pertahanan Sharul Nazeem Zulpakar serta dua tonggak pemain tengah Mohamad Faisal dan ketua pasukan Muhammad Safawi Rasid.

– BERNAMA


Pengarang :