Julian Alvarez menjaringkan gol kedua untuk Argentina dalam perlawanan menentang Croatia di Stadium Lusail di Al Daayen, Qatar. Foto REUTERS
AGENDA SUKANKINI

Piala Dunia: Argentina mara ke akhir selepas tundukkan Croatia 3-0

ISTANBUL, 14 DIS: Argentina mara ke pentas akhir Piala Dunia FIFA 2022 selepas membenam Croatia 3-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Lusail di Al Daayen, Qatar pada Selasa.

Pada minit ke-34 Argentina dihadiahkan sepakan penalti selepas Julian Alvarez dijatuhkan penjaga gawang Croatia dan pemain sensasi Lionel Messi berjaya menyempurnakannya, lapor Agensi Anadolu.

Lima minit kemudian, Argentina menambah satu lagi jaringan menerusi rembatan jarak dekat penyerang Alvarez.

Kedudukan kekal 2-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada minit ke-69, Alvarez sekali lagi menyumbat gol hasil hantaran cantik Messi yang berjaya menggelecek pertahanan Croatia.

Dalam perlawanan itu penolong jurulatih Croatia Mario Mandzukic turut dilayangkan kad merah pada minit ke-35.

Aksi Messi pada perlawanan kali ini membolehkan pemain yang menyarung jersi nombor 10 itu mengatasi pencapaian legenda Gabriel Batistuta untuk menjadi penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Argentina dengan 11 gol di Piala Dunia.

Argentina bakal menentang pemenang perlawanan Perancis-Maghribi. Perlawanan akhir akan berlangsung di Stadium Lusail pada Ahad.

Dengan keputusan ini, Messi mara ke final Piala Dunia kedua sepanjang kariernya.

Pada perlawanan akhir Piala Dunia 2014, Argentina kecundang 0-1 ketika bertemu Jerman.

– BERNAMA


Pengarang :