Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari bertemu orang ramai pada kenduri rakyat di tapak kendera saji Greenwood pada 11 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pilihan raya negeri, penduduk Gombak diseru kekalkan mandat HARAPAN

Oleh Azian Aziz

GOMBAK, 12 DIS: Dato’ Seri Amirudin Shari menyeru penduduk Gombak mengekalkan mandat kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam pilihan raya negeri yang dijangka diadakan beberapa bulan lagi.

Ahli Parlimen Gombak berkata beliau percaya dewan undangan negeri akan dibubarkan dalam tempoh empat atau lima bulan lagi untuk mendapatkan mandat baharu bagi menjamin kestabilan, kemakmuran dan perpaduan rakyat di dalam negeri serta negara.

“Jadi, saya seru orang Gombak pertahankan mandat yang ada dan tambah kekuatan kita kerana kita ingin pastikan negeri kita ini terus teguh dengan semangat kesatuan dan saling hormat menghormati.

“Bukan tumbuhkan dengan kebencian fitnah, perasaan ingin berperang atau hasad dengki dengan orang lain,’’ katanya ketika berucap dalam majlis kenduri rakyat meraikan kemenangan HARAPAN di Parlimen Gombak di tapak kendera saji Greenwood malam tadi.

Dato’ Menteri Besar berkata Selangor sentiasa memfokuskan kepada keperluan rakyat bukan berdasarkan sentimen, tohmahan, sengketa dan fitnah yang boleh merosakkan keharmonian.

“Semoga Gombak dan Sungai Tua kekal muafakat, Gombak Setia kekal di bawah HARAPAN dan Hulu Kelang kekal di bawah muafakat HARAPAN,’’ katanya yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua.


Pengarang :