Pengurus Besar Kanan Keusahawanan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Azilah Arshad (dua, kanan) bergambar bersama pemenang Program Usahawan Siswazah (Grow) PKNS 2022 Khairul Najib Asarulah Khan (dua, kiri), Nur Halimah Mohd Saiful Rahim (kanan) dan Muhammad Iskandar Zulkiple (kiri) selepas majlis graduasi program itu di ibu pejabat PKNS, Shah Alam pada 14 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKNS perluas program bimbingan niaga, sasar pasaran antarabangsa

SHAH ALAM, 15 DIS: Program Usahawan Siswazah (Grow) anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan diperluas tahun depan kepada usahawan mikro yang meraih nilai jualan lebih RM300,000.

Pengurus Besar Kanan Keusahawanan Azilah Arshad berkata program Grow Plus yang dijangka bermula awal 2023 mendedahkan peserta dengan platform pemasaran produk hingga peringkat antarabangsa.

“Kita akan dedahkan peserta kepada satu platform sedia dieksport (export ready) yang membantu melonjakkan lagi perniagaan mereka dalam pasaran tempatan dan luar negara.

“Program ini lebih mencabar kerana lima peserta terbaik akan dipilih untuk dibimbing sehingga boleh menempatkan produk di luar negara,” katanya dalam Majlis Graduasi Grow 2022 di sini semalam.

Azilah menambah sasaran peserta bagi program itu seramai 30 orang, dengan tempoh latihan selama setahun setengah, berbanding enam bulan bagi Grow, yang menumpukan belia.

Program Grow PKNS mengkhususkan aktiviti modul dan bengkel, bimbingan berkumpulan dan individu, dengan sasaran peniaga 30 tahun ke bawah, berdaftar bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta dijalankan sepenuh masa.


Pengarang :