Perbincangan meja bulat antara PKPS dan konglomerat makanan terkemuka dunia Charoen Pokphand (CP) Thailand. Foto Facebook PKPS
AGENDANASIONAL

PKPS perluas kerjasama berkaitan jaminan bekalan makanan di Selangor

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 9 DIS: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) komited memperluas kerjasama strategik berkaitan jaminan bekalan makanan di Selangor dengan Charoen Pokphand (CP) Thailand.

Melalui kerjasama dengan firma makanan terkemuka dunia itu, usaha merangka penyelesaian jangka masa panjang di peringkat pengeluaran dan pemasaran produk makanan asas dapat dilaksanakan.

“Antaranya menerusi projek pertanian berimpak tinggi dan penghasilan jagung bijirin untuk makanan ternakan ayam.

“Selain itu, pengeluaran anak ayam pedaging dan penelur, ladang ayam penelur serta kilang pemprosesan ayam segar,” kata agensi itu di Facebook.

Dalam perbincangan meja bulat antara CP diketuai Presiden CP Malaysia, Montree Srihamontree dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi semalam, isu semasa berkaitan ayam daging dan telur turut dibincangkan.

“Menerusi jalinan bersama CP ini PKPS beriltizam untuk menstabilkan harga dan juga ketersediaan bahan makanan asas rakyat di negara ini khususnya di Selangor,” katanya.

PKPS ditubuhkan pada 2 Januari 1972, menggantikan Lembaga Pinjaman Padi Negeri Selangor untuk memajukan industri perladangan dan sosioekonomi selain melaksana projek komersial untuk faedah rakyat.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata PKPS diyakini terus menerajui usaha menjamin bekalan makanan di negeri ini berbekalkan pengalaman selama 50 tahun.


Pengarang :